ØÙŠÙ… الر ØÙ…Ù† الر
الله بسم
Adira menutup komputer riba. Selesai sudah satu
assignment yang hanya tinggal untuk dihantar sahaja. Dia mengeliat sedikit
kemudian menoleh kebelakang. Teman sebiliknya, Aina sudah lama mengulit mimpi.
Pandangannya ditala kehadapan semula melihat dinding yang penuh dengan sticky
note, peringatan tentang kerja-kerja yang perlu dilunaskan. Masih banyak
dengan segala tutorial, assignment dan projek yang menanti. Tipulah
kalau nak kata dia tidak tertekan tapi ini jalan yang telah dipilih, memilih
kejuruteraan sebagai kursus pilihan.
Semester
satu yang sangat mencabar. Mentally, physically. Kadang-kadang terdetik
rasa sesal di hati Adira mengambil kejuruteraan awam. Bolehkan dia survive
hingga ke akhirnya? Sesuaikah dia dengan bidang ini. Adira meraup muka. Sudah
hampir seminggu pertanyaan ini berlegar di kepalanya. Entah apa yang difikirkan
sangat pun Adira tidak pasti. Yang dia tahu dia sudah mula tidak selesa dengan
kursus kejuruteraan ini lagi.
Telefon
bimbit di atas katil berbunyi menandakan ada pesanan ringkas masuk. Tangan
Adira lincah mengemas meja kemudian dia bergerak menghampiri katil.
"Salam'alayk adik-adikku sayang. Esok usrah seperti
biasa dengan tugasan masing-masing. =)"
Mesej Kak Aisyah, naqibah usrahnya dia balas tanda faham
kemudian berlalu ke tandas. Sebelum itu sempat matanya melirik pada jam di
telefon bimbit.
"Pukul 2 pagi dah? Hmm... solat sunat kejaplah."
* * * *
Usai usrah
di surau kolej, Adira terus pulang ke bilik. Sebelum tidur sempat dia
menyelesaikan beberapa assignment dan tutorial yang meminta perhatiannya.
Hampir jam satu pagi barulah dia berhenti. Kepala diteleng ke kiri dan ke kanan
melegakan sendi-sendi yang terasa bagai tersimpul erat. Terasa lega. Bila
ditoleh kebelakang, Aina masih di atas katil sambil berhadapan dengan komputer
ribanya. Adira teringat kata-kata naqibah usrahnya tadi yang masih terngiang-ngiang
di kepalanya.
"Perjuangan itu pahit kerana syurga itu manis."
Berkali-kali dia mencerna tapi masih juga dia tidak
faham. Mungkin umumnya dia mengerti maksud ayat itu, tapi di sebalik kata-kata
Kak Aisyah itu penuh persoalan. Sebelum pulang tadi sempat dia duduk berdua
dengan naqibahnya meminta pendapat. Ketika itu, rakan usrahnya yang lain sudah
meninggalkan surau menuju ke destinasi masing-masing.
"Apa yang Adira nak tanyakan?" lembut sahaja
suara Aisyah bertanya.
"Dira sudah tak selesa lagi dalam bidang ini
kak." Ayat pertama Adira hanya mengundang senyuman di bibir naqibahnya.
"Maksud Dira, kejuruteraan awam?" pantas sekali
Aisyah menebak. Bagaikan tahu apa yang bermain di fikiran Adira. Adira hanya
mengangguk. Sesekali dia bermain dengan hujung tudung menghilangkan resah.
Resah dengan apa yang mahu dibicarakan dengan naqibahnya kerana takut bakal
mengundah salah faham.
"Apa yang Dira rasa tak selesa? Ceritalah,
inshaAllah akak bantu mana yang mampu."
"Dira takut course ni akan menjauhkan Dira
dari Allah." Perlahan-lahan Adira bersuara takut dengan reaksi naqibahnya
tetapi senyuman dari Aisyah membuatkannya yakin untuk terus bercerita.
"Akak tahukan Dira dulu macam mana? Solat tak jaga,
aurat tak tutup dengan sempurna apatah lagi pergaulan. Dira terlalu bebas dulu
kak. Kemudian setahun yang lepas alhamdulillah Allah pilih Dira untuk
hidayahNya, Dira rasa syukur sangat... Allah pilih Dira sebab Allah sayang."
Bicara Adira terhenti seketika mahu mencari kekuatan.
Dia bukanlah berasal dari latar belakang keluarga yang
menitik beratkan agama. Ibunya walaupun sudah berusia empat puluh tujuh tahun
masih belum mengenakan hijab dan sibuk menguruskan butik pakaian yang
dimilikinya sejak lima belas tahun lepas. Ayahnya pula jarang ada di rumah
kerana tuntutan kerja membuatkan ayahnya sering berada di luar negara. Adira ialah
anak tunggal dan kerana itulah dia menjadi satu-satunya harapan untuk mengemudi
syarikat milik ayahnya nanti.
"Semuanya mudah dulu sebab Dira masih belum pilih
jalan yang bakal mencorakkan masa depan Dira masa tu. Waktu asasi dulu Dira tak
perlu fikir dengan siapa Dira bakal berjumpa atau bakal bekerja sebab Dira
hanya perlu fokus pada pelajaran. Jadi
tak ada masalah bagi Dira untuk kekal dalam usrah, bagi komitmen dalam urusan
lain dan yang paling penting kekal dalam jalan lurus yang Allah dah tunjuk ni."
Aisyah tersenyum lagi memberi Adira ruang untuk terus
bercerita.
"Bila
Dira pilih sivil, Dira istikharah dulu. Alhamdulillah jawapan yang Allah bagi
positif untuk Dira pilih course ni. Cuma apabila dah nak hampir final exam
ni Dira selalu tertanya-tanya betul ke pilihan Dira ni dan boleh ke Dira jadi
adil. Adil kepada diri dan juga kepada Allah... Semakin Dira belajar semakin
Dira faham apa yang bakal Dira hadapi dalam bidang sivil ni."
"Jadi, pada pendapat Dira macam mana?"
"Dira takut Dira terleka kalau terus dalam bidang
ni. Dira takut nak fikir waktu Dira dah berkerja nanti. Kesibukan, pergaulan, dengan siapa Dira akan
berkerja... Dira takut akan meminggirkan hak Allah. Dira tak nak jauh dari
Allah lagi."
"Bukankah semua itu boleh dielak?" Soalan
Aisyah seperti mahu menduga Adira. Adira menarik nafas panjang sebelum
menjawab. Inilah apa yang dia resahkan, salah faham bagi orang yang mendengar
pendapatnya.
"Dira tahu kita boleh elak semua tu. Yang penting
hanyalah kekuatan diri. Tapi... sampai bila? Dira takut diri ni tak mampu. Dira
tahu Allah menguji bagi yang mampu, tapi kalau boleh Dira nak elakkan. Dira
hanya manusia biasa yang tak tahu bila Allah akan tarik balik nikmat hidayah
ni..."
"Dira
nak tukar course?" Nah! Itu dia apa sebenarnya yang bermain di
fikiran Adira. Dia rasakan kejuruteraan sivil sudah tidak sesuai untuk dia
teruskan. Cuma hati banyak bertanya apa penerimaan keluarganya kelak?
Terutamanya ayahnya yang berharap sangat dia sebagai peneraju utama di syarikat
konsultan ayahnya.
"Dira
tak pasti. Dira takut ayah tak setuju lebih-lebih lagi ayahlah yang beria-ia
nak Dira ambil course ni dulu." Aisyah mengangguk kemudian mengusap lembut
tangan Adira.
"Satu sahaja yang akak mampu nasihat. Istikharahlah
pada Dia. Pada yang merencana kerana Dia lebih tahu tentang sesuatu. Mungkin
Dira rasa tak selesa, tapi kerana tak selesa itulah perjuangan. Mungkin Dira
rasa sudah tak sesuai, tapi yang tak sesuai itulah perjuangan. Ingatkan
kata-kata akak tadi?"
"Perjuangan itu pahit kerana syurga itu manis."
Perlahan suara Adira menuturkan kembali ayat naqibahnya sebelum usrah berakhir
tadi.
"Betul tu. Tapi akak tak kata perasaan Dira tu
salah. Mungkin ada perancangan Allah yang lebih baik untuk Dira. Mungkin juga
ini salah satu ujian buat Dira dari Dia. Mungkin Allah lebihkan sedikit ujian
buat Dira supaya Dira jadi lebih kuat dan lebih hebat untuk hadapi hari-hari
seterusnya. Apa-apapun minta petunjuk dari Allah sebab Dia akan beri jawapan
yang terbaik."
Adira mengangguk. Kata-kata Kak Aisyah ada benarnya.
Entah bagaimana dia boleh terlupa tentang itu. Istikharah.
Daripada Jabir bin Abdullah r.a berkata:
"Rasullullah S.A.W mengajar kami istikharah dalam sesuatu perkara
sebagaimana Baginda mengajar kami satu surah dari Al-Quran. Rasullah S.A.W
bersabda, maksudnya; "Apabila salah seorang daripada kamu merancang dalam
sesuatu perkara, hendaklah dia melakukan solat sunat dua rakaat." (Riwayat
al-Bukhari)
"Tapi akak nak Dira ingat satu perkara ni."
Adira mendongak mencari anak mata naqibah usrahnya.
"Apa dia?"
" Jalan yang kita pilih sesudah istikharah tentunya
ketentuan dari Allah tapi ia bukan jaminan kita tidak akan diuji."
"Dira!"
Tersentak Adira dengan panggilan Aina kepadanya. Hilang segala ingatannya pada
peristiwa tadi. Dikalihnya badan kebelakang. Keningnya diangkat bertanya.
"Nak tidur dah ke?" Tanya Aina sambil bersila pula
di atas katil yang dari tadi meniarap menghadap komputer riba.
"Aah... tapi nak kemas sikit dulu. Kenapa?"
Aina tersengih. Komputer ribanya dihulur tiba-tiba.
"Tolong letakkan lappy aku atas meja. Terima kasih..."
Adira bangkit dari kerusi. Huluran Aina diambil.
Tiba-tiba dia teringat sesuatu.
"Na, malam ni aku nak qiam. Nak join?"
"Boleh-boleh! Nanti kejutkan aku sekali ye?"
Aina merebahkan badannya.
"Okey!" Adira tersenyum senang hati. Dia tidak
mahu bangun qiam seorang kerana dia juga ada sahabat yang ingin dibawa ke
syurga bersama.
* * * *
Sudah seminggu Adira melakukan istikharah
meminta mana yang terbaik. Kali ini dia sudah ada jawapan. InshaAllah dia tidak
akan menoleh ke belakang lagi. Hatinya sudah nekad. Telefon bimbit di atas meja
di ambil. Mujur Aina ada kelas kerana dia ingin sedikit privasi di bilik untuk
berbicara dengan ibunya tentang keputusan yang mahu di ambil. Bunyi talian yang
belum disambungkan ditunggu penuh sabar sambil bibirnya tak lepas membaca
basmallah. Mohon dipermudahkan.
"Assalamua'laikum..."
"Waa'laikummussalam.
Dira, sihat?"
"Alhamdulillah
Dira sihat... Ibu sihat? Ayah?"
"Kami
berdua sihat. Ada apa Dira call ibu?"
"Dira
harap ibu tak marah. Hmm... Dira ingat nak tukar courselah bu..." Perlahan
sahaja suara Adira berkata-kata. Dia takut reaksi balas dari ibunya, Datin Sri
Nafisah.
"Maksud
Dira?"
"Boleh
tak Dira nak tukar ke Sains Kognitif?"
"Dira,
jangan bergurau dengan ibu perkara macam ni!"
"Tak
bu... Dira dah istikharah, inshaAllah Dira nak ke bidang lain. Dira minta maaf
menyusahkan ibu."
"Adira!
Cakap betul-betul dengan ibu apa masalah kamu yang sebenarnya ni? Sampai nak
tukar course pula?"
"Tak
bu... Cuma Dira tak yakin Dira mampu buat yang terbaik dalam sivil ni. Ibu,
Dira..."
"Ibu
tak tahu! Mesti Dira ada buat masalah sampai nak tukar course! Dira tanya ayah
sendiri, ibu tak nak campur!" Tersentap Adira dengan kata-kata Puan Sri
Nafisah. Tapi ditenangkan hati cuba mengingati yang dia sedang berbicara dengan
wanita mulia yang melahirkannya. Wanita yang di telapak kakinya ada syurga buat
dia.
"Ibu,
Dira minta ma..." Talian terputus. Adira terkedu sendiri. Belum apa-apa
lagi sudah begini reaksi ibunya jadi bagaimana dia mahu berterus terang kepada
ayahnya? Niat Adira tadi untuk memujuk ibunya memberitahu kepada ayahnya tapi
reaksi ibunya sangat menduga hati Adira. Adira menggenggam jemarinya mohon
Allah memberinya kekuatan. Nombor telefon bimbit ayahnya didail. Tiada jawapan.
Adira mencuba lagi hinggalah kali ke empat dia sudah berputus asa. Bukan mudah
mahu berbicara dengan ayahnya yang sentiasa sibuk dengan kerjaya.
* * * *
Seminggu
berlalu tetapi ibu mahupun ayah Adira tidak juga menghubunginya semula. Dan
sepanjang masa itulah dia terus melakukan solat hajat dan istikharah memohon
Allah mempermudahkan jalannya dan memberi sebaik petunjuk. Adira berkali kali
mendail nombor telefon ayahnya sejak kali terakhir bercakap dengan ibunya.
Peperiksaan akhir semakin menghampiri dan dia perlu cepat memaklumkan kepada
ayahnya tentang niatnya yang mahu bertukar bidang. Selepas naik cuti semester
nanti dia mahu memohon untuk bertukar kos. Dia sudah ada perancangan buat
dirinya.
Telefon
bimbit di ambil. Dia perlu mencuba lagi. Sesudah mendail, dia bersabar menanti.
Suara ayahnya memberi salam membuat Adira mengurut dada lega walaupun dalam
masa yang sama dia gentar.
"Ibu
ada beritahu ayah yang Adira nak tukar kos?" Walaupun Tan Sri Ghazali
tidak menengking tapi tetap tegas suaranya.
"Ya
ayah. Dira ingat..."
"Dira
cakap kat ayah apa yang buat Dira nak tukar kos?"
"Sebab
Dira rasa tak sesuai dengan bidang ni."
"Apa
yang tak sesuai tu Dira? Beritahu ayah dulu..." Walaupun Tan Sri Ghazali
nampak berkompromi tetapi Adira tahu ayahnya hanya meminta alasan dan tiada
alasan sesuai yang boleh dia berikan untuk bertukar bidang lain kerana Adira
tahu ayahnya tetap akan berkata tidak. Sejak dari dulu Tan Sri Ghazali berharap
kepada Adira kerana dia tiada pewaris lain dan ketika itu dia yakin Adira pasti
menuruti kemahuannya.
"Pergaulan
Dira nanti yang Dira risaukan."
"Pergaulan
apa, Adira? Kan kamu masih belajar lagi?"
"Ya
ayah, Dira faham. Maksud Dira apabila Dira dah berkerja nanti..."
"Biasalah
tu! Setakat nak berbincang dengan lelaki, berkerja dengan mereka apa salahnya?
Dah namanya pun kerja bukannya kamu buat perkara tak elok!" Suara Tan Sri
Ghazali meninggi mencecah gegendang telinga Adira.
Itu yang membuatkan Adira tidak mahu bercerita lanjut
mengapa dia mahu menukar bidang kerana fahaman dia dan ayahnya berbeza. Dia
tidak mahu sebab yang diceritakan kepada naqibahnya diceritakan kepada ayahnya semula
kerana Tan Sri Ghazali. Tetapi bagi Adira sendiri yang menanggung, dia selesa
apabila dia memberati auratnya. Dia mahu mengelakkan segala zina yang boleh
dihampiri melalui anggota badannya. Zina hati, zina mata, suara wanitanya,
lenggok badannya... segalanya mahu dijaga. Sayangnya, Tan Sri Ghazali tidak
memahami.
"Tapi Dira tak mampu yah..." Adira masih lagi
tidak mahu bercerita sebab sebenar. Dia selesa melindungi hakikat yang
sebenarnya.
"Apa yang kamu tak mampu dengan engineering? Dira
cakap sahaja apa yang Dira nak ayah boleh beri tapi bukan tukar kos!"
"Dira dah nekad ayah..."
"Baiklah! Kalau kamu nak tukar bidang, terpulang!
Tapi sekali kamu dah tukar kos, segala perbelanjaan kamu tanggung sendiri. Ayah
tak akan beri apa-apa bantuan untuk tanggung kamu belajar lagi! Ayah nak tengok
sejauh mana kamu mampu untuk belajar dalam bidang lain dan bukan bidang
kejuruteraan!"
"Dira minta maaf..." Talian terputus. Seperti mana
hari dia menelefon Puan Sri Nafisah begitu juga hari ini. Terkumat kamit
mulutnya menyeru nama Allah mohon kekuatan. Hatinya walang dengan penerimaan
Tan Sri Ghazali. Tapi Adira yakin dengan nikmat Allah untuk setiap ujian yang
ditimpakan. Pasti ada cahaya yang menanti walaupun dia tidak pasti bila.
Wahai orang-orang yang beriman,
kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai
kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.
(Muhammad : 7)
* * * *
Tempoh
sebulan cuti semester telah berakhir dan sejak sebulan yang lalulah Adira
berkerja di salah sebuah kedai berhampiran rumahnya. Dia mengambil upah mencuci
pinggan dan berkerja lapan jam setiap hari tanpa cuti. Dia perlu berusaha
kerana dia perlukan wang. Kalau nak dikira berapa kali dia bertemu dengan ayah
dan ibunya pasti boleh dikira dengan jari sahaja.
Pagi sahaja dia sudah keluar untuk mula berkerja dan
ketika itu ibunya masih tidur atau pun keluar ke butik manakala ayahnya masih
di luar negara. Ketika pulang pada waktu petang pula ibunya masih belum pulang
kerana ada aktiviti persatuan dan dia terus naik ke bilk untuk merehatkan
badan. Waktu malam jika dia berkesempatan sahaja dia akan bertemu Puan Sri
Nafisah. Tapi sejak peristiwa hari itu jarang ibunya mahu menegur. Mungkin Puan
Sri Nafisah turut berasa kecewa dengan keputusannya.
Tan Sri Ghazali benar-benar mengotakan janji tidak
memberinya sebarang duit untuk perbelanjaan. Sejak kali terakhir Adira bercakap
dengan ayahnya dia sudah mengira kos sara hidup yang bakal ditanggungnya nanti.
Dan yang menjadi mangsa ialah kos untuk makan. Adira perlu berkorban wang yang
diperuntukkan untuk makanan supaya dia boleh berjimat. Banyak perkara yang
dirisaukan Adira terutamanya kelengkapannya untuk belajar dan buku rujukan
penting yang harus dibelinya.
Urusan penukaran kos sudah dilakukan semasa study week
sebelum ini. Mencungap juga dia turun naik pejabat dekan untuk bersoal jawab
dengan dekan mengenai hal ini. Bukan mudah untuk menukar kos lebih-lebih lagi
dia dari bidang kejuruteraan. Terlalu banyak sebab yang diminta dan alasan yang
diberi perlu kukuh. Hatinya mengadu penat tapi akalnya mendesak sabar dengan
ujian.
Keputusan akhir sama ada Adira berjaya menukar kos akan
diketahui esok. Hatinya berdebar-debar takut dengan keputusan yang negatif.
Adira duduk bersandar di kepala katil dan kakinya dilunjurkan ke hadapan. Bahu
dan tengkuknya diurut perlahan silih berganti. Baru dia tahu lelah mencari wang
untuk meneruskan hidup. Dua hari lagi dia akan pulang ke universiti dan esok
hari terakhir dia berkerja. Ada debar dalam dadanya. Adira berzikir perlahan
berharap mampu menenangkan hati.
Pada Aina sudah dikhabarkan tentang keputusannya.
Alhamdulillah rakannya yang seorang itu menerima keputusan yang dibuat dan
menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bahagi. Saat dia merasa sukar dengan
rasa dipinggirkan ibu bapa, masih ada rakannya tempat dia mengadu cerita. Adira
yakin Allah itu Maha Adil. Saat dia terasa mahu berjimat tidak mahu makan
semasa berkerja, pasti bosnya akan mempelawa dia makan bersama dengan percuma.
Esoknya masih berjalan seperti sediakala. Pulang sahaja dari
tempat kerja Adira terus memeriksa keputusan permohonan penukaran kos di laman
web universitinya. Terus sahaja Adira sujud syukur saat melihat permohonannya
diluluskan. Malam itu dia mengemas barang untuk dibawa pulang, ibunya datang
menjengah ke dalam bilik.
"Boleh ibu masuk?" Soalan Puan Sri Nafisah
dijawabnya dengan anggukan kecil lantas tersenyum. Mungkinkah perubahan yang
baik?
"Ibu tak dapat hantar Adira esok sebab ibu ada
meeting. Tak apa ya?" Puan Sri Nafisah melabuhkankan duduk di birai katil.
Terhenti Adira dari menyusun baju di dalam beg.
"Tak apa Dira faham." Adira tersenyum.
"Dira masih berkeputusan nak tukar kos?" Lembut
suara ibunya bertanya buat Adira lebbih serba salah nak menjawab takut
jawapannya akan mengecewakan ibunya.
"InshaAllah Dira akan tukar kos. Adira minta maaf
sebab mengecewakan ibu dan ayah..." Berlinang air matanya. Puan Sri
Nafisah sebak. Dia kecewa dengan keputusan Adira tapi dia masih seorang ibu
yang turut merasa pedih andai anaknya tercalar rasa. Dia tahu anaknya bersusah
payah dalam sebulan ini.
"Kalau itu yang Dira rasa terbaik teruskanlah. Tapi
ibu minta maaf, ibu tak boleh menanggung Adira. Ayah sudah suruh ibu berjanji
Dira..."
"Tak apa bu. Dira faham... Dira cuma nak minta doa
ibu hari-hari moga Dira terus kuat dalam bidang ni dan tak akan menoleh ke
belakang lagi. Doakan Dira ye bu hari-hari?" Puan Sri Nafisah menarik
Adira ke dalam pelukannya. Dia tahu Adira rasa susah tapi dia tidak mampu
membantu. Usai pelukan dileraikan Puan Sri Nafisah menghulur sesuatu buat
Adira.
"Ambil ni buat belanja. Kali ni sahaja ibu mampu
beri..." Beberapa keping not biru itu diletakkannya dalam tangan Adira.
"Ibu..." berbolak balik hati Adira. Dia mahu
menolak tapi dia juga perlukan wang naik sahaja cuti semester nanti.
"Ambil saja. Belajar rajin-rajin..."
"Terima
kasih bu..."
* * * *
Tahun pertama...
Lelahnya
Adira Allah sahaja yang mengetahui. Dia perlu bermula semula. Semester keduanya
menjadi semester pertama semula kerana bidang yang di ambilnya berlainan sama
sekali. Ada suara-suara yang berkata dia gagal peperiksaan dan ada juga yang
berkata dia tidak mampu dalam bidang kejuruteraan lagi. Apa sahaja kata mereka,
Adira terima dengan redha. Aina sahaja yang memahami. Walaupun tidak lagi
sebilik dengan Aina tapi sering sahaja Aina menelefon jika ada apa-apa yang
boleh dibantu. Dan dia tidak mahu menyusahkan rakannya kerana selagi kudratnya
terdaya dia akan ikhtiar sendiri.
Minggu
ketiga belajar Adira sudah mula terasa wangnya semakin ligat mengalir keluar.
Buku, barang-barang keperluan, makan dan yuran untuk kos ini semua perlu di
ambil kira. Kadang-kadang hatinya sesak dengan rasa hiba kerana rasa susah tapi
hanya diarinya tempat dia meluah rasa. Sekurang-kurangnya dia tahu dia selesa
belajar tanpa perlu rasa bimbang di akhirnya kerana dia punya perancangan
sendiri dalam bidang ini.
Dia sedang berjuang! Itulah yang ditanamkan dalam lubuk
hatinya supaya dia sentiasa tersenyum menghadapi kesulitan itu. Kerana
perjuangan dia masih panjang dan dia sangat mengharap perjuangannya itu
membuahkan hasil yang besar. Kerana itu dia masih bersabar dan tersenyum untuk
setiap ujian supaya tak terlalu rasa beban yang ditanggung.
Malam itu selesai usrah buat pertama kali sejak cuti, dia
duduk berdua dengan naqibahnya.
"Macam
mana dengan kos baru? Okey?" Aisyah memulakan bicara.
"Alhamdulillah
kak... Walaupun penat tapi Dira selesa sekarang. Belajar pun okey."
"Dira
jangan lupa, Dira sentiasa ada akak dan rakan-rakan yang lain jika perlukan
pertolongan. Walaupun kami kekurangan wang tapi kami tak kurang kasih sayang
untuk Adira."
"Dira
tahu... Tapi setakat ni alhamdulillah Dira okey dengan semuanya. Biasalah kalau
penat sedikit sebab Dira kena start semester satu semula." Aisyah
mengangguk.
"Kalau
setiap kali Dira rasa berat dengan semua ujian ni, buka balik surat cinta
Allah. Baca dan fahami inshaAllah hati akan tenang. Setiap kali Dira rasa tak
kuat dengan ujian Allah, selalu ingat Allah nak beri kita nikmat selepas itu
sebab itu Allah uji. Macam dalam Surah Al Baqarah ayat 286... Dira
tahukan?"
"Allah
menguji bagi yang mampu..."
"Sebab
Allah tahu Adira mampu sebab tu Dira yang terpilih untuk ujian ni. Allah nak
bagi pelangi lepas hujan." Berkias kata Aisyah tapi Adira faham maksud
disebalik kata-kata itu.
"Tapi
hujan itu bukan tak ada hikmahnya. Cuma kita sahaja yang perlu tahu macam mana
nak jadikan hujan itu suatu nikmat bukan perkara yang mudarat..." Penuh
berkias kata-kata Aisyah dan dia harap adik usrahnya itu faham maksud yang
ingin disampaikan.
Minggu keempat Adira mula berkerja lagi tapi sebagai
penolong di kedai buku berhampiran universitinya. Empat jam sehari setiap
Jumaat, Sabtu dan Ahad. Tidak cukup dengan itu dia juga mengambil upah mencuci
pinggan setiap kali tiada kelas. Gajinya dibayar untuk setiap jam dia berkerja.
Walaupun gaji yang diperoleh sedikit tapi sedikit sebanyak mampu menampung
perbelanjaan hariannya. Kos makan sering dibahagikan sedikit kerana Adira
sering berpuasa sunat dan itu mampu membuat dia berjimat.
Setiap
Isnin dan Selasa kelas Adira berakhir malam. Petang Rabu dan Khamis pula dia
tiada kelas dan setiap petang itulah dia mengambil upah mencuci pinggan. Pulang
sahaja dia dari kelas dia cubakan juga menggagahkan diri untuk mengulangkaji.
Hampir pukul dua pagi dia tidur dan setiap kali dia tidur lewat sempat dia
melakukan solat sunat. Dan seawal lima setengah pagi juga dia bangun menunaikan
solat Subuh dan menyambung mengulangkaji sebelum bersiap untuk ke kelas yang
bermula pada pukul lapan.
Rutin
harian Adira kekal begitu walaupun dia menghampiri peperiksaan akhir. Walaupun
sibuk dengan kerja sampingan, dia tetap memperuntukkan masa untuk belajar.
Tidurnya hanya beberapa jam sehari dan pernah juga dia tertidur di kelas akibat
kepenatan. Tetapi selepas itu segera dia mencari rakan mengajarnya semula apa
yang tertinggal. Dia sayangkan kos ini dan dia mahu cemerlang walaupun sesusah
mana ujian yang dia hadapi.
Keputusan
Adira walaupun bukan four flat tapi sudah cukup membanggakan kerana dia
tersenarai dalam senarai penerima anugerah dekan. Segera dia sujud syukur
sebaik sahaja mengetahui keputusan peperiksaannya. Aina yang semakin turut
tersenarai sebagai penerima anugerah dekan untuk semester ketiganya tetap
mencuri masa menjenguk Adira mengucap tahniah. Berpelukan mereka melepaskan
rindu kerana selalunya telefon sahaja yang menghubungkan mereka. Untuk selalu
berjumpa, masing-masing sibuk dengan hal sendiri.
"Tahniah
Dira!"
"Syukran!
Syukran! Kau juga Aina, tahniah!"
"Disebabkan
kita dapat dean list... hari ni kau kena spend masa dengan aku sebab aku nak
belanja kau makan!" Aina memaut bahu Adira mesra tapi reaksi Adira tampak
serba salah.
"Na,
maaflah... Aku kerja lepas ni."
"Ala
Dira... kalau tak lama pun kejap je. Kau
call la bos kau cakap kau lambat sikit mesti dia faham punya." Tak
sanggup menghampakan niat Aina, Adira turutkan sahaja. Kepada bosnya
dimaklumkan dia akan lambat dua jam ke tempat kerja dan maksudnya gajinya untuk
dua jam tiada. 'Demi Aina, apalah sangat dua jam tu!' Fikir hati Adira.
Semester dua barmula diiringi dengan aliran air mata dari
Adira. Wangnya simpanannya tinggal beberapa puluh ringgit sahaja ketika minggu
pertama mendaftar kerana sudah habis digunakan untuk membayar yuran semester
dua. Untuk meminjam wang dia malu. Malu kerana kudratnya masih mampu mencari
wang sendiri cuma dia yang tidak berusaha lebih. Dia kekekangan masa kerana dia
juga perlu tumpukan perhatian dengan pelajaran.
Sewaktu
semester pertama dahulu pernah dia tidak makan hampir dua hari kerana wangnya
tidak cukup. Badannya juga sudah susut kerana hampir setiap hari dia berpuasa.
Adira berharap dia tidak berpuasa kerana tidak cukup wang kerana dia mahu
mengikhlaskan diri untuk setiap ibadah yang dilakukan. Dan setiap kesulitan
yang ditempuhi mengajarnya erti bersyukur untuk setiap nikmat yang dilakukan.
Dia
mengantuk, dia penat, dia lapar, dia sakit tapi dia diamkan sahaja. Bagi Adira
cukup Allah mengetahui apa yang dia tanggung dan untuk setiap ujiian yang Allah
timpakan dia bersabar menunggu hikmahnya. Lebih-lebih lagi ini ialah jalan yang
dia pilih dan hatinya cuma berharap moga redha Allah bersamanya.
Hari itu dia lewat ke kelas. Entah bagaimana dia terlupa
mengunci jam dan hampir jam lapan pagi barulah dia tersedar. Semalam dia tidur
ketika jam menunjukkan tiga pagi dan disebabkan itulah dia boleh terlajak
tidur. Nasib baik dia tidak boleh solat dan terus sahaja Adira bersiap untuk ke
kelas. Usai bersiap jam sudah menunjukkan pukul 8.15 pagi dan Adira terus
bergerak menuju ke kelas. Tidak sampai seminit berjalan hujan renyai turun dan
baru setengah jalan hujan mulai lebat. Berlari dia dalam hujan lebat dan entah
bagaimana dia boleh terjatuh dan buku yang dipegangnya habis kotor terjatuh
dalam air hujan yang bertakung. Tidak cukup dengan itu baju kurungnya juga
habis kotor.
"Astaghfirullah...
Astaghfirullah... tabahkan aku dalam ujianmu Ya Allah, tabahkan hati aku Ya
Allah." Berkali-kali Adira mengucap ayat yang sama dan dia bangun tapi
niatnya untuk ke kelas mati. Dia perlu pulang ke bilik menukar pakaian dan
sepanjang dia berjalan pulang hanya Allah sahaja yang tahu betapa dirinya malu
diperhatikan orang lain. Mengalir air matanya bersama hujan yang turun ketika
itu memikirkan wang yang bakal mengalir keluar lagi kerana buku itu dipinjamnya
dari perpustakaan.
"Adira,
Allah bagi ujian sebab sayang. Bersyukur Adira, bersyukur... Perjuangan memang
pahit kerana syurga yang menanti itu manis Adira..." Berkali-kali juga
Adira mengingatkan diri sendiri supaya tenang menerima musibah dan dia perlu
yakin dengan takdir Allah. Zikrullah menjadi mainan bibirnya kerana itu sahaja
yang mampu menenangkan hatinya.
Tidak mungkin Adira lupakan payah jerih yang dilalui
kerana pengalaman itu yang mengajar dia menjadi manusia yang bersyukur dan
penuh rasa sabar dalam hati. Akhirnya peperiksaan akhir berlalu dengan
keputusan yang mampu membuat Adira melupakan kesukaran yang dilalui apabila dia
tersenarai sebagai penerima anugerah dekan sekali lagi.
'Benar...
yang payah, yang susah, yang sakit, yang perit akan berlalu. Dan yang tinggal
pastinya kenangan dan pengalaman yang banyak mengajar erti hidup. Hidup perlu
diteruskan tak kira sesukar mana ujian yang ditimpakan pada diri...'
Tahun kedua...
Selepas berakhir semester kedua, Adira mengambil antarsesi.
Jika dia pulang ke rumah pastinya suasana suram sahaja yang dia alami. Tan Sri
Ghazali masih dingin dengan Adira dan setakat ini tidak pernah mereka bertanya
keadaan Adira sejak dia menukar kos. Setiap kali di merindui ibu dan ayahnya,
Adira pendamkan sahaja. Kedang-kadang dia teresak sendiri di bawah bantal
mengawal bunyi tangis. Jika rakan sebiliknya bertanya mengapa dia tidak pernah
pulang bercuti, dikatakan sahaja dirinya mahu berkerja mencari wang lebih.
Keputusan untuk mendiami kolej sudah diketahui. Tersandar
Adira melihat keputusan kerana dia tidak mendapat kolej pada semester ketiga
ini. Ramai rakannya yang mendapat tempat di kolej kerana berjaya mengumpul
merit seperti yang dikehendaki kolej tapi apakan daya Adira, kerana dia banyak
berkerja dan hampir tiada masa buat diri sendiri. Dia perlu mencari rumah sewa
pula selepas ini. Tinggal di rumah sewa bermaksud lebih banyak wang yang
diperlukan. Adira meraup wajah.
"Allahurabbi.. Ya Allah, tabahkan aku dengan ujianmu
dan jadikan aku bersyukur dengan setiap ujianMu."
Petang itu juga dia menelefon apabila ada rakan yang
menghulur nombor telefon rumah untuk disewa. Tapi sayang, terpaksa ditolaknya
apabila sewa rumah terlalu tinggi bagi Adira dan dia tidak mampu membiayainya.
Malam itu menangis dia bersujud berdoa kepada Allah supaya memudahkan segalanya
untuk dia lalui. Bukan dia merungut cuma apabila terlalu letih, hati tanpa
sedar meratap nasib.
Tiga hari bermula semester baru dan selama itu dia
tinggal di surau kolej kerana dia masih belum mampu mencari rumah sewa. Usai
solat Asar, pintu surau terbuka dan Adira tergamam melihat Aina masuk dengan
penuh perasaan. Terus dipeluknya Adira yang sedang duduk bersandarkan dinding.
"Kenapa kau tak beritahu aku? Kenapa?"
Teresak-esak suara Aina bertanya. Hiba hatinya melihat kesusahan rakannya
seorang ini. Yang lebih perit apabila Adira lebih rela menelan sendiri dari
berkongsi atas dasar tidak mahu menyusahkan orang lain.
"Aku minta maaf. Aku tak nak susahkan kau
Na..." Adira menangis menjawab. Menangis yang lebih kepada dia terlalu
lama mengharapkan bahu untuk menangis supaya terasa kurang beban yang di
hadapi. Tapi untuk bercerita kepada Aina dia tidak sanggup menyusahkan rakannya
yang seorang ini.
"Lepas ni kau duduk dengan aku dan sekarang kemas
semua barang-barang kau kita bawa dalam bilik aku! Mana barang-barang
kau?" Melilau mata Aina memerhati sekeliling dan pandangannya terhenti di
sudut dinding. Belum sempat dia berdiri untuk mengambil barang Adira, tangannya
dipaut kemas.
"Na... aku tahu niat kau baik nak tolong aku. Tapi,
kau tahukan Na ia satu kesalahan bawa orang lain menghuni bilik kau."
"Habis tu? Kau ingat aku sanggup tengok kau duduk
surau sebab tak ada tempat tinggal?"
"Tak apa Na... Nanti kalau aku dah jumpa rumah sewa
aku tak duduk sini."
"Okey kalau macam tu kau duduk dengan aku lepas
jumpa rumah sewa yang selamat dan sesuai. Yang selamat terutamanya,
faham?" Aina perlu bertegas kali ini. Dia tahu tidak guna dia terus
memujuk Adira kerana Adira tidak pernah mahu menyusahkan orang lain. Tapi bagi
Aina, dia tidak pernah merasa susah dengan pertolongannya terhadap Adira.
* * * *
Sejak semester ketiga Adira sudah berjinak-jinak dalam
bidang penulisan. Dan apa yang dituliskannya berkenaan dengan motivasi diri.
Pernah diceritakan kepada Aina, kemudian Aina memberi idea supaya disimpan
semua tulisannya supaya suatu hari nanti akan menjadi sebuah buku yang berguna.
Di dalam
laptop Adira ada folder tempat dia menyimpan semua hasil tulisannya yang lebih
berkisar tentang pengalam hidup sepanjang bergelar seorang pelajar. Tidak puas
hati dengan tulisan yang hanya tersimpan rapi, dibuatnya sebuah blog menyimpan
hasil tulisannya itu. Harapan Adira semoga tulisannya memberi manfaat kepada
yang lain.
Semester empat baru bermula dan Adira tersenyum gembira
kerana setiap semester dia mampu mendapat dean list. Dan sehingga kini dia
belum pernah pulang ke rumah lagi kerana kerja pastinya. Mana dia mahu dapatkan
duit jika setiap cuti dia pulang ke rumah? Pernah Aina bertanya kepadanya
tentang pengorbanan yang dilakukan.
"Kau
pernah menyesal tak Dira tukar kos?"
"Alhamdulillah
setakat ni tak lagi."
"Sedikit
pun?" Soalan Aina dijawab dengan anggukan kecil dari Adira.
"Sebab
aku yang pilih jalan ni dan haruslah aku sanggup dengan ujianNya."
"Kalau
kau seorang engineer, kenapa?"
"Aku
perlu berkerja dengan ayah dan mungkin menghabiskan umur aku menguruskan
syarikatnya walhal aku ada impian lain." Jawan Adira mudah.
"Kan kau pernah cerita kau tukar kos sebab tak
selesa. Sekarang ni?"
"Alhamdulillah,
aku sangat bersyukur. Walaupun perjuangan aku belum tamat dan setiap perjuangan
itu buat aku terasa berat sekurang-kurangnya aku tahu aku terselamat dari
perkara yang aku tak yakin."
"Apa
yang kau tak yakin?"
"Aku
tak yakin akan konsisten bertudung labuh, pakai handsock, stokin kaki... pendek
kata tutup semuanya kalau aku terus dalam bidang sebelum ini."
"Maksud
kau?"
"Aku
takut perkara yang aku cuba pertahankan ni akan musnah akibat tak tahan dugaan.
Dugaan panas umpamanya." Tergelak kecil Adira dengan kata-katanya sendiri.
Melihat wajah Aina yang kelihat tidak memahami Adira menyambung lagi.
"Lepas
aku tamat belajar nanti aku nak jadi pensyarah atau mungkin seorang kaunselor.
Dan selepas berkahwin, aku nak jadi suri rumah mendidik anak-anak aku
sahaja."
"Kau
tak rasa rugi ke belajar tinggi-tinggi tapi jadi suri rumah akhirnya."
"InshaAllah
tak, sebab aku nak didik anak-anak aku jadi umat yang berjaya dunia akhirat dan
dididik dalam suasana Islam yang sebenar."
"Kau tak rasakan perjuangan kau ni dah cukup pahit
kemudian apabila kau ambil keputusan nak jadi suri rumah akhirnya perjuangan
itu lebih pahit sebab tak mampu capai impian?"
"Itulah impian aku. Mendidik. Tak kira siapa yang
aku didik tetapi jika aku mampu mendidik darah daging sendiri itu lebih
bermakna." Adira menyambung yang membuat Aina berhenti menyoal dan
mengerti alasan sahabatnya itu.
"Dan kau kena ingat... Perjuangan itu pahit kerana
syurga itu manis."
Tahun ketiga...
Habis sahaja semester keenam, Adira memulakan latihan
praktikalnya di sebuah syarikat konsultan. Terlalu banyak pengalaman yang
ditimbanya sepanjang berada di syarikat swasta itu. Malah yang lebih
mengejutkan dia juga dibayar gaji seperti pekerja yang berkerja di situ tanpa
mengira statusnya sebagai seorang pelajar yang sedang praktikal.
Beberapa minggu lepas ada penerbit yang menghubunginya
untuk berbincang mengenai penulisannya di blog supaya boleh dijadikan sebuah
buku motivasi untuk dipasarkan. Hampir seharian Adira tersenyum kerana terlalu
gembira sambil mulutnya tidak letih mengucap alhamdulillah. Pada Aina turut
dikhabarkan berita gembira itu.
"Allah
beri hujan dahulu sebelum beri pelangi..." Masih terngiang-ngiang lagi
kata-kata Kak Aisyah yang sudah menamatkan pelajaran dua tahun lepas ditelinga
Adira.
Hujan yang
dirasakannya memang lama sebelum Allah menghadiahkan pelangi buatnya. Dan hujan
itu yang membuat Adira bersyukur atas nikmat pelangi yang diberikan.
Pengalamannya penuh onak dan penuh cerita tetapi semua itu yang menjadikan dia
seperti hari ini. Menjadikan dia seorang Adira yang sentiasa bersabar,
bersyukur dan menerima apa adanya rezeki yang Allah berikan padanya.
Semasa
praktikal Adira banyak menghabiskan masanya di pejabat dan dia sendiri berasa
canggung di rumahnya sendiri. Kadang-kadang walaupun kerjanya sudah selesai,
dia tetap mencari sesiapa yang memerlukan bantuan dia. Sekurang-kurangnya ada
juga kerja daripada duduk rumah seperti tunggul tidak berbuat apa-apa. Ibunya
semakin sibuk dengan butik malah ayahnya boleh dikira dengan jari berapa kali
mereka bertembung di rumah. Itupun ketika masing-masing sudah penat dan mahu
masuk ke bilik dan esoknya tidak mungkin berjumpa kerana awal pagi Adira sudah
pergi berkerja.
Habis
sahaja praktikal Adira kembali menyambung menulis buku yang bakal dipasarkan
seperti yang dia bincangkan dengan seorang penerbit dahulu. Kata penerbit itu
lagi jika awal Adira siapkan buku tersebut inshaAllah buku itu akan dipasarkan
empat bulan selepas itu. Adira meminta tempoh seminggu lagi sebelum menghantar
manuskrip penuh kepada penulis kerana ada sedikit yang perlu ditambah dalam
penulisannya.
* * * *
"Aina!!!
Aku berjaya Aina! Aku berjaya!" Terkejut Aina saat dia mendengar suara
Adira memekik di hujung talian.
"MasyaAllah
Dira, bagi salam dululah!"
"Sorry,
sorry... Assalamua'laikum sahabat. Sihat?"
"Waa'laikummussalam.
Alhamdulillah sihat... Apa yang kau nak cakap tadi?" Aina yang baru bangun
tidur memisat-misat matanya. Tadi belum sempat dia mengucap salam buat si
pemanggil, jantungnya hampit terkeluar mendengar jeritan si pemanggil.
"Aku
dah dapat keputusan, aku dapat ANC!"
"What?
Seriously?!!" Kini giliran si penerima panggilan pula yang menjerit.
Hampir seminit masing-masing menjerit meluah rasa teruja mereka terdiam
seketika. Kemudian perlahan suara Adira menyapa telinga Aina.
"Akhirnya...
aku berjaya juga. Semua kepayahan aku macam hilang Aina. Hilang macam tu saja.
Bagaikan segala beban yang pernah aku tanggung selama ini tak pernah aku
alami... Alhamdulillah..." Bergenang mata Adira menutur ayat itu kepada
Aina.
"I'm
proud of you friend... really proud. Kau layak untuk ini, sangat layak."
Suara Aina juga perlahan menjawab.
"And...
I have another surprise. Guess what?"
"Ada
orang nak meminang kau minggu hadapan." Laju sahaja Aina menebak dengan niat
hanya mahu mengusik.
"This
is more than that!"
"Kau
jangan cakap kau nak kahwin minggu depan?"
"Mestilah..."
bersahaja jawapan Adira membuat Aina menjerit lagi.
"What!!!"
"Mestilah...
tak." Ketawa besar Adira dapat mengenakan rakannya itu.
"Kau ni!
Habis tu apa?"
"Buku
aku terbit lepas aku graduate. A day after my convocation. Jemput hadir untuk
perasmian."
"Means
dua bulan dari sekarang?" Soal Aina seakan tidak percaya.
"Yup!
Datang tau jangan lupa!"
"Mesti!
For sure! Akan! Wajib!!!" Lintang pukang ayat Aina kepada Adira. Tapi yang
penting dia gembira, terlalu gembira buat sahabatnya.
EPILOG
Adira tersenyum sendiri.
Sesekali dia tertawa kecil melihat telatah kanak-kanak yang bermain di
hadapannya. Kepalanya mendongak memandang langit memerhatikan ciptaan Ilahi.
Subhanallah... Apa sahaja ciptaan Allah pasti hebat. Dia terasa ada yang
mengusap pehanya lembut. Pantas dia memandang ke sebelah. Aina...
"Feeling good?" Sebaris ayat Aina mengundang
tawa kecil dari Adira.
"Alhamdulillah... really good." Aina tersenyum.
Dia tahu apa yang Adira rasa walaupun bukan dia yang mengalami tapi dia sendiri
melihat payah jerih Adira untuk sampai ke tahap ini.
"Lepas ni boleh buat buku baru pula?" Aina
menganggkat kening mencabar Adira.
"InshaAllah. Mana tahukan? Kalau ada
rezeki...." Teringat ketika pelancaran bukunya dua hari lepas. Dia sangat
terkejut melihat dua insan yang turut berdiri di hadapannya ketika itu. Terus
sahaja dia meluru memeluk ibu dan ayahnya. Berjurai air matanya memohon maaf
atas tindakan yang diambil tapi yang lebih mengejutkan ibu dan ayahnya pula
yang meminta maaf. Pantas Adira
menggeleng kerana dia tidak tegar melihat orang mulia di hadapannya meminta
maaf kepada dia sebagai seorang anak. Dia telah lupa semua kepahitan dan tidak
berbekas di hatinya perbuatan lalu mereka.
Adira kembali menebarkan pandangan ke taman permainan di hadapan.
Melihat keseronokan kanak-kanak bermain buat dia tenang. Muka yang bebas dari
masalah dan yang penting muka tiada dosa.
"Cukup-cukuplah tu Cik Dira oi! Jom kita
balik!" Aina memaut bahu Adira. Terus Adira menjatuhkan kepalanya kebahu
Aina.
"Aina..." perlahan suara Adira memanggil.
"Ya?"
"Thanks..."
"Hmm?"
"For everything. Terima kasih sangat. Allah sahaja
yang boleh membalasnya."
Lama Aina terdiam. Tidak tahu mahu memberi reaksi apa.
Sungguh dia ikhlas untuk setiap bantuan yang dihulurkan kerana kasih sayangnya
pada Adira ibrata sayangnya dia pada keluarga sendiri.
"Dira... kita sahabat sampai syurga?" Adira
tersenyum. Dia menganggkat kepala memandang Aina.
"InshaAllah... till jannah."
"Dah jom balik!" Peha Adira ditepuknya
lembut. Lantas mereka sama-sama berdiri
berpimpin tangan menuju ke kereta. Dalam hati Adira, dia bersyukur... Dia
belajar erti sebenar kata-kata Kak Aisyah sepanjang dia di universiti.
"Perjuangan itu pahit kerana syurga itu manis."
Mungkin selepas ini dia perlu bersedia untuk berkerjaya atau jika ada yang
meminang dia bersedia untuk menjadi suri rumah sepenuh masa. Takdir, apa sahaja
boleh terjadi dengan kehendak Ilahi.
Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan
sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak
terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu
berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu;
yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui
(hakikat yang sebenarnya).
(As-Saff : 10-11)
-TAMAT-