Wednesday, 20 August 2014

SEMPURNA [BAB 2]

Betullah hidup ni sangat mencabar. Aku tengah mencuba sebaik mungkin hidup di dunia ni. Perjalanan mencari redha Ilahi. Rasa macam kadang-kadang tu terhenti tengah jalan bila dugaan datang. Seboleh-bolehnya aku positif  untuk semua yang berlaku. Bantulah aku Ya Allah...

          Aku tengok jam dinding. Hampir pukul sebelas malam. Dina sudah masuk tidur dan aku masih di ruang tamu melayan perasaan seorang diri. Lepas tutup tv tadi aku masih tak rasa mengantuk. Yelah... kalau ikutkan aku mana biasa tidur awal-awal. Kalau dulu, waktu-waktu begini belum tentu aku dah balik rumah.

          Dulu rasanya aku ni dah macam spesis burung hantu dah, siang tidur malam berjaga. At least burung hantu tahulah jugak nak balik rumah petang-petang tapi aku ni waktu petang... alamat rumah pun belum tentu aku ingat. Hmm, dululah... Sekarang ni, alhamdulillah tak lagi.

*                             *                             *

Malam masih muda. Itu yang aku tahu apabila Dina kerap kali menasihati perangai aku yang satu ini. Bukan malam sahaja yang muda, malah aku sendiri masih muda untuk menikmati keseronokan dunia ini. Tunggulah sepuluh atau dua puluh tahun lagi sebelum aku bertaubat.

          Dina hanya menggeleng apabila kadang kala mulut aku bau air haram itu ketika pulang ke rumah. Selalunya aku hanya pekakkan telinga mendengar semua nasihat percuma dari Dina. Aku tak pernah marah dengan nasihat dia, cuma untuk aku mengambil pengajaran mungkin belum masanya lagi.

          Aku selesa dengan hidup begini. Bagiku apa guna menutup aurat jika tidak ikhlas. Apa guna sikap hipokrit berbuat baik kalau tidak ikhlas. Semuanya perlukan keikhlasan untuk lakukan sesuatu baru berkekalan. Tapi, ketika itu aku lebih mengutamakan falsafah hidup sendiri. Falsafah hidup yang terang-terangan melanggar syariat Ilahi.

          Selagi ada masa nikmati sahaja kehidupan ini. Kata Dina lagi aku bernasib baik kerana dikurniakan kehidupan yang lengkap tapi sayangnya aku tak tahu menghargai. Menghargai dalam erti kata mensyukuri. Aku alpa dengan dunia sehingga aku lupa siapa Pencipta. Selalunya aku hanya tersenyum sinis mendengarnya.

          Sejak kecil aku dibesarkan dengan penuh kasih sayang. Emak seorang suri rumah yang cukup sempurna malah babah sendiri sangat mengutamakan pendidikan agama kepada anak-anaknya. Aku hanya punya abang dan abangku yang satu itu juga menyayangiku tanpa berbelah bahagi. Walaupun babah selalu sibuk dengan tugasnya sebagai seorang timbalan pengarah di salah sebuah syarikat swasta tapi tugasnya selaku seorang ketua keluarga tidak pernah di abaikan. Entah mana silapnya sehingga aku jadi begini. Mungkin sebab diri sendiri.

          Aku sedar aku yang memilih jalan ini. Aku juga sedar jalan yang aku pilih salah cuma aku selalu ambil tak kisah. Untuk kategorikan aku gadis liar mungkin tidak sesuai. Aku bukan menyertai parti-parti mat rempit yang selalu menggadai nyawa untuk mendapat hasil taruhan. Aku juga tidak mengamalkan seks bebas.

          Mungkin kehidupan sosialku yang tak terjaga. Malamku bukan seperti gadis-gadis sunti di kampung yang duduk di rumah menjaga diri. Malam menjelma dan aku pasti keluar mencari teman lepak bersama. Rakan-rakanku juga tak mengira bangsa dan agama. Rakan-rakan yang seperti aku yang tidak mengenal siapa yang mencipta dunia. Kami hanyut dengan kehidupan dunia yang sementara.

          Pernah sekali seorang rakan menghulur sebungkus kecil plastik yang isinya jelas kelihatan seperti tepung. Aku tersenyum menolaknya secara baik.

          "I don't do drugs."

Jawapan yang mengundang tawa rakan-rakanku yang lain. Aku hanya biarkan. Aku masih kenal perkara yang akan memusnahkan hidup aku.

          Selepas keputusan SPM diumumkan aku menjadi salah seorang pelajar cemerlang yang mengharumkan nama sekolah. Keputusanku untuk menyambung pelajaran di luar negara disambut baik oleh kedua ibu bapaku dan abangku sendiri. Ketika itu aku masih bertudung dan masih mengekalkan ciri-ciri wanita muslimah dalam diri. Janjiku untuk menggenggam segulung ijazah membara-bara kerana aku ingin membanggakan keluargaku. Semuanya manis-manis belaka ketika itu.

          Babah dan emak berpindah ke kampung setelah babah bersara di mana ketika itu aku sudah setahun di England. Abang pula bekerja sebagai salah seorang jurutera di Johor Baharu. Perubahan diri aku bermula ketika aku di tahun kedua. Selepas peperiksaan akhir tahun pertama aku berhajat untuk membuat kejutan kepada mereka dengan pulang ke rumah.

          Penat hampir sehari di dalam flight hilang begitu sebaik sahaja aku menjejakkan kaki di Kuala Lumpur International Airport. Setelah selesai urusan bagasi, aku melangkah mencari teksi. Tiket teksi ditangan kuhulurkan pada pemandu teksi yang membawaku. Setelah destinasi diketahui terus sahaja pak cik teksi itu bergerak memandu meninggalkan KLIA.

          Hampir satu jam aku di dalam teksi akhirnya aku sampai ke rumah. Tersenyum lebar aku berdiri dihadapan rumah dan yang paling seronok apabila kereta abang turut ada sekali. Ini bermakna semua ahli keluargaku ada di rumah dan rancanganku untuk mengejutkan mereka pasti lebih sempurna.

          "Assalamua'laikum!" laungku dari luar rumah. Menanti babah atau emak keluar menyambutku. Pasti riak terkejut yang mereka tunjukkan. Senyumanku semakin melebar apabila memikirkan perkara itu.. Apabila tiada sahutan sekali lagi aku memberi salam.

          "Waa'laikummussalam..." Terkocoh-kocoh emak keluar diikuti abang di belakang Cuma babah yang tiada. Mungkin ke kebun atau keluar membeli barang fikirku.

          "Surprise!!!" Aku mendepangkan tangan tapi perlahan-lahan aku jatuhkan apabila reaksi emak dan abang sangat berbeza dari yang aku fikirkan. Tiada senyuman di wajah mereka malah mereka berpandangan sesama sendiri.

          "Najwa?" tanya emak. Aku ketawa perlahan. Mungkin emak terkejut sehingga tidak percaya aku di hadapannya.

          "Wa lah ni mak, abang. I'm home!" Barulah emak datang memelukku. Abang memelukku kemudian setelah emak meleraikan pelukan kami.

          "Kenapa Wa tak cakap nak balik? Hari tu mak tanya Wa kata tak nak balik cuti ni. Buat terkejut kami saja Wa ni." Comel sahaja kurasakan emak memarahiku.

          "Saja Wa nak bagi kejutan."

          "Dah, jom masuk."
                                                             
   *                             *                             *

Prang! Berderai gelas minuman yang aku pegang selepas mendengar kata-kata mak. Terketar-ketar tangan aku mengutip serpihan kaca. Sambil satu persatu aku kumpulkan dan air mata mengalir perlahan. Dalam hati aku masih berdoa sepenuh hati yang emak hanya berbohong.

          "Babah dah tak ada nak... Maafkan emak. " Sekali lagi emak ulang apa yang dikhabarkan kepada aku tadi.  Mulanya aku fikir emak maksudkan babah tiada di rumah, ke kebun mungkin. Rupanya maksud emak lebih mendalam kerana babah tiada lagi di dunia. Sudah tiada kerana menemui Pencipta.

          Aku masih seperti tadi. Masih tekun mengutip serpihan kaca yang sudah pecah. Sambil tangan mengutip tapi otak tidak mencerna apa yang aku lakukan. Mata semakin kabur apabila air mata membasahi pipi tidak surut malah makin melaju.

          "Wa!" Segera emak membongkok di sebelah aku menepis tangan aku yang mengutip kaca. Terasa sesuatu mengalir hangat di jemari. Bila aku pandang, jari jemariku sudah penuh dengan darah. Sungguh tika itu aku tidak terasa dan tidak sedar aku sedang mencucuk jemariku menggunakan serpihan kaca itu. Hanya apabila emak menepis baru aku terasa sakitnya.

          "Astaghfirullahala'zim... Mak, Wa... apa yang jadi ni?" Abang terus melepaskan barang-barang yang di belinya dan meluru ke arah kami. Tangan aku dipegangnya.

          "Wa, macam mana..."

          "Wa, maafkan mak Wa. Bukan niat mak nak rahsiakan dari Wa." Tak sempat abang menghabiskan ayat emak memotong. Sekali lagi emak memohon maaf tapi aku hanya mendengar kosong dan otak masih tidak boleh berfikir.

          "Wa dah tahu mak?" pantas abang menyoal emak. Emak mengangguk kecil.

          "Kita ke klinik dulu!" tegas abang bercakap dan aku hanya bangun mengikut.

*                             *                             *
          
          "Wa..." tersentak aku dari lamunan. Terkejut pun ada juga bila Dina tiba-tiba muncul menyeru nama aku.

          "Kau buat apa kat sini?" soal Dina sambil tangan kanannya menggosok mata.

          "Aku tengok tv tadi. Kau kenapa bangun tiba-tiba ni?" Sempat mata aku menjeling jam dinding yang sudah menunjukkan tepat pukul dua pagi.

          "Aku lapar. Jom makan, Wa?" Dina menggosok perutnya pula. Dina ni jenis yang suka bangun pagi-pagi buta cari makanan jadi kami akan pastikan rumah akan ada makanan segera supaya mudah untuk dimasak jika terasa lapar.

          "Patutlah bangun pagi-pagi buta. Tak apalah aku kenyang lagi. Kau nak makan apa pagi-pagi ni?"

          "Mi segera."

          "Hmm... okeylah aku tidur dulu. Selamat malam, assalamua'laikum."

No comments:

Post a Comment